Teman Seakidah Anda

Wednesday, December 24, 2008

Insiden Bush dibaling kasut


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu berita yang cukup menggemparkan masyarakat dunia iaitu berita mengenai seorang wartawan Iraq bernama Muntazer al-Zaidi kerana telah melontar sepasang kasut ke arah Bush ketika mana beliau berucap sempena sidang media berlangsung di Iraq.

“Inilah ucapan selamat tinggal untuk anda, anjing”. Kata Zaidi Muntazer sambil membaling kasut ke arah Bush yang dengan mahir dan cekap dapat mengelaknya.

Inilah insiden yang menggambarkan kekecohan yang berlaku sempena sidang media bersama Bush dengan Perdana Menteri Nuri al-Maliki di Iraq. Berita tentang insiden memalukan ini telah tersebar luas dengan pantasnya. Sikap berani yang ditunjukkan oleh Muntazer itu patut dipuji atas dasar gambaran keberanian dan sikap berhati kemanusiaan dengan apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan jahat berlatarbelakangkan Bush. Di sini penulis yakin, dengan insiden yang berlaku sudah cukup menconteng arang di muka Bush selaku manusia bertopengkan kasut. Apa bezanya Bush dengan kasut?...Cuba anda fikirkan.

Dia telah dikurniakan akal untuk berfikir tetapi telah meyalahgunakan fungsi akal sebagai seorang pemimpin.

Kita sudah sedia maklum dengan kegagalan pemerintahan Bush sepanjang memimpin Amerika, ini sudah cukup terbukti lagi bersuluh dengan kezaliman dan kekejaman yang dipamerkan melalui tindakan pencerobohan pihak Amerika ke atas Iraq dan banyak lagi

Tindakan Zaidi membaling kasut ke arah Bush membawa mesej jelas walaupun Bush pura-pura tidak memahaminya.

Rata-rata dunia Arab mengalu-alukan tindakan Zaidi dengan serangan berkenaan walaupun dari segi peraturan kerjayanya sebagai wartawan memang cukup menyalahi dan melawan arus.

Akhbar Jordan, Al-Ghad mengalu-alukan tindakan wartawan itu.

“Membaling kasut ke arah Bush adalah kucupan selamat tinggal terbaik. Ia mencerminkan betapa bencinya orang Iraq dan Arab terhadap Bush….Beliau adalah pemerintah kuku besi dan mendapat balasan mengaibkan di atas perbuatannya membawa kemusnahan dan kesengsaraan kepada berjuta orang di seluruh dunia.”

Mungkin itulah ucapan yang terbaik mengiringi Bush yang bermaksud ‘semak samun’ sesuai dengan apa yang telah disumbangkan kepada masyarakat dunia. Akibatnya beginilah padahnya. Cuba anda bayangkan anda berada di pihak Bush, bagaimanakah perasaan anda?sudah tentu tidak ada arahnya. Na’uzubillah min zalik. Wallhua’lam.

Thursday, December 18, 2008

Istimewanya Orang Bercinta


Bertepuk sebelah tangan sahaja tidak akan berbunyi.
Bercinta dengan yang tidak mencintai, akan menyebabkan seseorang itu kecewa dan merana .
Itulah lumrahnya apabila bercinta dengan manusia.
Sebaliknya bercinta dengan Allah,Tuhan yang Maha Pencinta atau'Al Waduud' itu, cinta kita pasti akan berbalas.
Bahkan ia diberi penghargaan dan disambut dengan baik.

Cinta Allah yang Maha Pencinta tidak memilih siapa, rupa, gaya dan bagaimana keadaannya.
CintaNya boleh direbut oleh sesiapa sahaja, asalkan rajin berusaha untuknya.
Cinta yang tidak pernah luput walau sesaat malahan terus berkekalan.
Berbeza dengan manusia yang hanyacinta pada yang disukai dan diminati.
Cintanya pula bermusim dan tidak kekal.
Sewaktu disenangi dicintai, bila jemu atau benci tidak lagi dicintai malah ditinggalkan.

Cinta manusia juga terhad dan ada kepentingan.
Isteri cintakan suami kerana suami tempatnya bergantung.
Ibu mencintai anak kerana anak itulah penghiburnya di kala sunyi.
kawan menyayangi kawan kerana dapat berkongsi merasai senang dan susahnya hidup.
Pengikut sayangkan ketua kerana ketua menjadi penaungnya.

Namun Allah yang Maha Pencipta mencintai hamba-hambanya tanpa ada kepentingan apa-apa.
Allah hanya melebihkan kecintaanNya kepada orang-orang yang mencintaiNya,
sebagai ganjaran buat hambaNya itu..
Allah akan murka kepada orang yang mengingkariNya, yang sombong
dan memang tidak mahu langsung mencintaiNya.

Cinta Seindah Yang Diucap.
Semua orang boleh mengaku dan berikrar bahawa dia mencintai Allah.
Tapi tindak-tanduknya dapat mencerminkan apakah dia benar-benar mencintaiNya.
Dan Allah sendiri lebih tahu siapakah diantara hamba-hambanya yang benar-benar mencintaiNya.
Orang yang benar-benar mencintai Allah sanggup berbuat apa sahaja keranaNya.
Kalau terhadap orang yang dikasihi, suami dan lain-lain diberikan perhatian dan tumpuan,
Sanggup berkorban apa sahaja, pastilah terhadap Allah lebih-lebih lagi.
Malah sanggup pula bersusah payah bangun malam untuk bertemu dan bercakap-cakap dengan kecintaannya.
Sedang orang lain seronok bergaul bebas dengan kekasih hati, dia bermujahadah
(melawan kehendak nafsu) menolak ajakan kekasihnya kerana mengutamakan
larangan Allah SWT yang kasihNya lebih utama.

Tanda Cinta.
Tanda seseorang itu mencintai Allah ialah dia beriman kepada Allah,
bertaqwa, berkorban untukNya dengan melakukan kebajikan, sabar,
bertaubat,membantu kerja-kerja menegakkan agama melakukan ibadah yang
fardhu dan rajin mengerjakan ibadah-ibadah sunat.
Dia berkasih sayang dengan sesama manusia dan saling bersilaturrahim kerana Allah, dengan
menjaga batas-batasnya (muhrim@sebaliknya),
saling beri-memberi kerana Allah demi keredhaanNya.
Tidak kerana yang lain.Allah melimpahkan kecintaanNya dan menempatkan orang-orang yang dicintaiNya itu pada kedudukan yang tinggi dan mulia di Akhirat.

Allah isytiharkan cintaNya di dalam Al-Quran kepada orang yang
sungguh-sungguh beribadah berbuat kebaikan danberakhlak mulia.
Diantaranya Allah berfirman:

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang sabar."
( Surah: Ali Imran,Ayat:146.)

"Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan."
( Surah Ali-Imran,Ayat: 134 )

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang mensucikan diri."
( Surah: Al-Baqarah. Ayat: 222 )

Untungnya Orang Bercinta.
Beruntunglah orang yang bercinta dengan Allah kerana mendapat
perhatian,cinta dan kasih sayangNya.
Istimewanya orang yang bercinta dengan Allah dan mendapat balasan cintaNya,
seluruh isi langit dan bumi akan turut mencintainya.
Dia menjadi kekasih Allah manakala orang yang mencintainya turut mendapat kecintaan daripada Allah pula.
Orang yang mendapat kecintaan Allah hidup bahagia dan tenang ketika di dunia lagi.
Di Akhirat Allah akan berikan kebahagian yang abadi.
Begitulah istimewanya orang yang bercinta dengan Tuhan yang Maha Pencinta itu.
Kita pasti tidak mahu gagal dalam bercinta.
Agar cinta kita berbalas, bercintalah denganNya,Tuhan yang Maha
Pencinta itu dengan curahan cinta agung.
Pasti akan mendapat balasan cinta yang istimewa dariNya.
Usahkan di Akhirat, di dunia lagi, terasa di hati balasan cintaNya.

Rasulullah pernah bersabda :-
Cintailah sesuatu itu sekadar saja.
Berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu seketika
Bencilah yang engkau benci itu sekadar saja..
berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada suatu ketika.






Wednesday, December 17, 2008

15 Tip Pelajar Cemerlang

Bercintalah dengan pelajaran, bertunang dengan mengulang kaji, Berkahwinlah dengan peperiksaan, dan berbulan madulah dengan kejayaan.

Bagaimana mahu jadi pelajar cemerlang? Apakah ciri-ciri pelajar cemerlang?

  1. Tuhan mencipta kita dengan penuh kesempurnaan. Bertindaklah dengan cemerlang.
  2. Pelajar yang tidak berdisiplin semasa belajar, besar kemungkinan tidak berdisiplin sepanjang hayat.
  3. Semua orang mahu berjaya tetapi cuma segelintir yang berjaya kerana mereka berjaya mengawal nafsu dan emosi.
  4. Kita mudah lupa apa yang kita dengar. Kita sekadar tahu apa yang kita lihat. Kita akan faham apa yang kita amalkan / praktikkan.
  5. Apabila kita belajar dengan niat untuk berkongsi ilmu ataupun mengajar orang lain, kita akan dapat kefahaman dan daya ingatan yang luar biasa.
  6. Setiap hari, carilah alasan untuk berubah secara positif.
  7. Di dalam dunia ini, cuma kita berupaya mengubah diri kita.
  8. Apabila kita berubah, semua orang di sekeliling kita akan berubah seiringan dengan perubahan kita.
  9. Setiap masalah berpunca daripada diri kita sendiri. Kita yang perlu menyelesaikannya.
  10. Segala kehebatan sudah sedia ada dalam diri kita. Sekadar menanti untuk diserlahkan.
  11. Orang biasa yang melakukan tindakan luar biasa menghasilkan prestasi luar biasa.
  12. Jadikan setiap hari adalah hari terbaik dan sepanjang kehidupan anda akan cemerlang.
  13. Kejayaan = Hidayah + Ilmu + Amal + Ikhlas + Istiqamah + Berterusan berubah secara positif.
  14. Kejayaan adalah melakukan rutin yang positif secara berterusan.
  15. Kegagalan adalah melakukan satu ataupun dua kesalahan berulang kali.
Pepatah Arab pernah mengatakan, "siapa yang berusaha ia akan dapat hasilnya." So, segalanya terserah pada diri anda, anda mampu mengubahnya. Anda diberi pilihan samada memilih jalan lurus tau jalan bengkok...Tentukan sebaik-baik ikhtiar (pilihan).

Soalan dan Nasihat Imam Al-Ghazali


Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau

bertanya :

Soalan pertama
Imam Ghazali : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?
Murid 1 : Orang tua
Murid 2 : Guru
Murid 3 : Teman
Murid 4 : Kaum kerabat

Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan
kita
ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan
mati ( Surah Ali-Imran:185) .

Soalan kedua
Imam Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?
Murid 1 : Negeri Cina
Murid 2 : Bulan
Murid 3 : Matahari
Murid 4 : Bintang-bintang

Iman Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah
MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, teta! p kita tidak
akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga
hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang
sesuai dengan ajaran Agama.

Soalan ketiga
Iman Ghazali : Apa yang paling besar didunia ini ?

Murid 1 : Gunung
Murid 2 : Matahari
Murid 3 : Bumi

Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA
NAFSU (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita,
jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka .

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan
manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya
(ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi)
tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah
orang-orang yang lalai. "
(Surah Al-A’raaf, Ayat 179)

Soalan keempat
Imam Ghazali : Apa yang paling berat didunia ?

Murid 1 : Baja
Murid 2 : Besi
Murid 3 : Gajah

Imam Ghazali : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah
MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung,
dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi
khalifah(pemimpin) di duni! a ini. Tetapi manusia dengan sombongnya
berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia
masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.’

Soalan kelima
Imam Ghazali : Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1 : Kapas
Murid 2 : Angin
Murid 3 : Debu
Murid 4 : Daun-daun

Imam Ghazali : Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali
didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan
dunia, kita tinggalkan solat. Na’uzubillahiminzaa lik.

Soalan keenam
Imam Ghazali : Apa yang paling tajam sekali didunia ini ?

Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah
LIDAH MANUSIA . Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti
hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Saturday, December 13, 2008

Islamofobia selepas 11 September



ISLAMOFOBIA adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim. Istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001.

Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam," juga menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah daripada nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama.

Pelbagai pendapat mengatakan peningkatan kecenderungan ke arah Islamofobia sebahagiannya diakibatkan oleh serangan 11 September, sementara mereka yang lain pula mengaitkannya dengan kehadiran orang Islam yang meningkat di negara Barat.

Pada Mei 2002, European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia (EUMC), satu pertubuhan pemantau Kesatuan Eropah, mengeluarkan laporan bertajuk "Summary report on Islamophobia in the EU after 11 September 2001" (Ringkasan laporan mengenai Islamofobia di Kesatuan Eropah selepas 11 September 2001), yang menggambarkan peningkatan insiden berkaitan Islamofobia di negara Eropah selepas 11 September.

Satu forum pada tahun 2001, "Stockholm International Forum on Combating Intolerance", mengisytiharkan satu deklarasi yang antara lainnya meletakkan Islamofobia sebagai sesuatu yang melanggar nilai-nilai asas manusia: rasisme, diskriminasi kaum, antisematisme, islamofobia, xenofobia, diskriminasi, keganasan dan pembunuhan kerana orientasi seks, dan apa jua bentuk sikap tidak toleransi, melanggar nilai-nilai asas manusia dan mengancam kebebasan masyarakat.

Fitna karya filem menghina Islam

Fitna adalah filem karya ahli politik Belanda, Geert Wilders, seorang pemimpin Party for Freedom (PPV) di Parlimen Belanda. Filem yang memaparkan pandangan Wilders mengenai Islam dan Quran ini dikutuk oleh masyarakat Islam antarabangsa termasuk Perdana Menteri Belanda sendiri, Jan Peter, kerana bersifat anti-Islam.


Wilders pertama kali menayangkan filemnya pada 27 Mac, 7 malam waktu Belanda, di laman video Liveleak. Semenjak itu pekerja Liveleak menerima ancaman dan mengambil keputusan untuk membuang video tersebut. Versi Belanda bagaimanapun sudah dilihat 1.6 juta kali dalam masa 2 jam sementara versi Inggeris lebih 1.2 juta dalam 5 jam.

Wilders pada mulanya mahu menayangkan filem tersebut di televisyen tetapi tiada satu pun syarikat Belanda yang mahu menayangkannya tanpa disunting. Wilders kemudiannya berkata dia lebih rela menayangkan kesemua filemnya (tanpa disunting) di Internet dari di TV dengan suntingan. Walaupun ada pihak yang akhirnya bersetuju untuk menayangkan filem tersebut dengan beberapa syarat seperti bayaran yang lebih untuk keselamatan, Wilders menolak tawaran mereka.

Beberapa negara termasuk Malaysia mengharamkan pengedaran dan penayangan Fitna kerana ia menyinggung perasaan umat Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, dalam satu kenyataannya, memutuskan Fitna sebagai satu sendaan terhadap Islam dan menyeru supaya memboikot barangan Belanda.

Pengerusinya, Prof Dato� Dr Abdul Shukor Husin, berkata tindakan tidak menghormati sensitiviti umat Islam akan merenggangkan lagi hubungan antara Islam dan dunia Barat.

Filem tersebut juga mendapat kutukan negara-negara lain di dunia termasuk Australia dan Kesatuan Eropah. Dalam pada masa menolak paparan Fitna mengenai Islam, Kesatuan Eropah bagaimanapun mempertahankan hak untuk bersuara dan meminta masyarakat Islam bertindak rasional.

Filem Fitna adalah beberapa siri insiden karya seni dari Eropah yang dilihat sebagai menghina Islam dan umat Islam. Kontroversi lain sebelum ini termasuk penyiaran karikatur yang dianggap menghina Nabi Muhammad s.a.w. oleh akhbar di Denmark selain daripada novel The Satanic Verses oleh Salman Rushdie pada tahun 1988.

Ramai pemerhati berpendapat, kelahiran filem ini adalah sebagai manifestani sikap prejudis dan Islamofobia kepada Islam dan umat Islam yang meningkat sejak kejadian serangan 11 September 2001.

Assalamualaikum dan Salam Ukhuwwah

Ahlan Wasahlan dan selamat datang kepada semua pengunjung blog ini..Alhamdulillah dan syukur dirafa'kan kepada Allah tuhan alam semesta...Harapanku Pada-Mu Subur Kembali.. kerana dengan kesempatan ini penulis dapat menggunakan pancaindera yang penuh kelebihan ini sebagai salah satu wasilah penggerak dakwah sebagai langkah perkongsian pendapat antara satu sama lain memecahkan kejumudan yang sering membatu dalam pemikiran. Dewasa ini, penulis melihat medium dakwah bergerak dengan begitu meluas dan makin lama berkembang dengan begitu hebat dan terus berkembang..semoga usaha ini menjadi kiraan Allah sebagai ibadat ke arah mencapai keredhaan-Nya dan mengalirkan ganjaran pahala seperti air sungai hingga ke akhir hayat. Inilah sedikit santapan rohani dan usaha untuk memperjuangkan Islam sebagai agama tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi melainkannya...Islam tidak pernah mundur melainkan penganutnya yang menyumbang kepada kemunduran...Wallahu'alam