Teman Seakidah Anda

Sunday, July 5, 2009

Kisah dua sahabat


Bismillahirrahmanirrahim..


Salam Motivasi

Ini merupakan satu kisah yang dikisahkan untuk renungan kita bersama. Semoga ada iktibar daripadanya.


Tersebut alkisah, di satu kampung, terdapat sepasang sahabat yang selalu berkongsi masalah dan berdebat tentang sesuatu isu setiap kali berjumpa. Pada suatu hari, Si A bertemu dengan si B di halaman rumahnya seperti biasa.

Lalu si A bertanya kepada si B “ Boleh tak ana bertanya kepada anta satu soalan, sahabatku?” Tanya Si A meminta izin pertama.

“Sudah tentu wahai sahabatku. Apa soalannya? Ana teruja untuk mendengarnya..” jawab Si B dengan mesra, cepat dan betul ( macam motto PDRM je..huhu..)

Si A lalu tersenyum…” Soalannya begini, jika ditakdirkan di dalam dunia ni hanya terdapat tiga orang sahaja wanita, dan ketiga-tiganya memiliki kekurangan tertentu di mana yang pertama merupakan gadis buta. Yang kedua merupakan seorang yang bisu dan ketiga adalah seorang yang pekak. Yang mana satu bisa kau pilih untuk menjadi isterimu, wahai sahabat?” Clean dan clear si A mengajukan soalannya.

Lantas si B tersenyum, dan menjawab “ana tidak kisah sahabat, siapa-siapa pun ana akan terima sebagai isteri,sama ada dia buta, pekak mahupun bisu. Tiada masalah bagi ana..”ikhlas betul jawapan si B namun si A tidak berpuas hati.

Lalu dia mengajukan lagi soalan yang berbunyi begini “ sahabatku, masakan kau ingin menerima sesiapa sahaja untuk menjadi suri hidupmu? Kalau isterimu buta, macam mana dia akan melaksanakan tanggunjawabnya dengan baik, sedangkan dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri kerana matanya yang buta itu. Adakah kau akan menjadi pak turut yang akan memimpin ke mana sahaja isterimu pergi?” panjang lebar Si A mengajukan persoalannya. Lantas Si B mejawabnya dengan senyuman manis “ tiada kurang nilainya seorang isteri bagi hamba, wahai sahabatku. Walaupun dia seorang yang buta, namun hatinya cukup bersih. Dia dilindungi oleh Allah daripada melihat benda-benda yang kotor dan keji sepanjang umurnya. Hatinya jauh lebih bersih daripada hati kita berdua, wahai sahabatku.. Dengan hatinya yang bersih itu, dia akan menjadi seorang isteri yang lebih baik berbanding orang yang sempurna sifatnya, dan Allah telah memberikan cahaya melalui mata hatinya. Mana tau, berkat doa hatinya yang bersih itu, rumahtangga akan jadi lebih bahagia..” jawab Si B dengan panjang lebar. Terkedu Si A mendengarnya. Rasa malu pun ada, Perlahan-lahan menjalar rasa keinsafan dalam dirinya. Niat pada mulanya hanya untuk ‘kena’kan sahabatnya itu tidak menjadi.

Lalu, dia bertanya lagi, “ bagaimana pula dengan si Bisu? Mahukah engkau ingin menjadi seorang suami kepada sebuah patung yang tidak boleh bercakap dan hanya mampu merenung dirimu sepanjang hidupnya, wahai sahabatku?” si A merasakan si B akan mengalah. Masakan tidak, dia sendiri tidak ingin mempunyai seorang isteri yang bisu, hidupnya akan terasa sunyi dan kosong jika berhadapan dengan situasi sedemikian. Tetapi, dengan tenang si B menjawab, “ Wahai saudaraku, si bisu banyak keistimewaannya, dan jika dia menjadi isteriku, sungguh aku rasa bersyukur. Ini kerana dia tidak bisa meleteriku dengan bahasa-bahasa yang kasar, dan akan berbahasa manis dan lembut dengan penuh rasa cinta melalui renungan matanya yang bercahaya itu. Dengan pandangan sebegitu setiap hari, ana akan merasa tenang dan sangat bahagia. Nilai cintanya jauh lebih berharga kerana dari pandangan mata, kita dapat merasai segala-galanya. Cukuplah jika suara anak-anak menjadi penyeri hidup kami, walaupun tidak dapat mendengar bisikan cinta dari si isteri tercinta namun ana tahu cintanya sangat suci buat ana..” mendengar penerangan si sahabat, si A berasa semakin insaf. Namun, terdetik di hatinya untuk mendengar penerangan seterusnya.

Lalu, dia bertanya lagi kepada si B, bunyinya begini, “sahabatku, bagaimana pula dengan si pekak? Engkau akan hidup susah di sampingnya jika engkau memilihnya sebagai isteri. Jika engkau pulang lewat malam, dia tidak dapat mendengar bunyi deringan telefon mahupun ketukan pintu darimu sedangkan isterimu sedang tidur dengan nyenyak. Engkau pula sudah tentu akan merasa marah kerana terpaksa tidur di luar semalaman. Tidakkah itu akan menambahkan beban dalam hidupmu,sahabat?” bersungguh betul si A cuba membentangkan pendapatnya. Mendengarkan soalan tersebut, sekali lagi si B menjawab, dengan wajah tenang dan manis seperti biasa, “sahabatku, alangkah beruntungnya jika mempunyai isteri seperti itu. Kenapa perlu ana merasa marah jika dia tidak mendengar bunyi deringan telefon mahupun ketukan pintu, sedangkan seharian isteriku berpenat lelah melaksanakan tanggungjawabnya di rumah dan menjaga anak-anak, sudah semestinya ana biarkan sahaja dia tidur nyenyak tanpa mengganggunya. Jika ana pulang dalam kepenatan dengan kemarahan sekalipun, dia tidak akan mendengar suara kemarahan ana dan, sudah tentu dia tidak akan mengomel tanda tidak puas hatinya. Sedangkan dengan kelemahannya itu, dia hanya bisa menuturkan bahasa lembutnya dan rumahtangga kami pasti akan bahagia setiap hari..” sekali lagi si A merasa terpaku dan terkedu dengan jawapan tersebut. Perlahan-lahan, air matanya mengalir, tanda keinsafan yang menjalar kuat di hatinya.. Perlahan-lahan dia mengangkat mukanya dan berkata kepada sahabatnya, “ terima kasih sahabat di atas nasihatmu itu. Kini, aku merasa sangat bersyukur kerana mempunyai sahabat sepertimu.” Lalu si A mendakap si B dengan seeratnya sambil menangis tanda kesyukuran..



p/s: bersyukurlah dengan apa yang ada…Sesungguhnya, di sebalik sesuatu kekurangan, ada hikmahnya yang tersembunyi yang dapat dinilai dengan mata hati. Renungkan..(^_^)

Saturday, July 4, 2009

Iman Semut



Assalamualaikum..Alhamdulillah, sedikit perkongsian..Moga2 memberi impak n manfaat utk
kita mendekatkn diri pd pencipta..

sampaikanlah kebaikan walau sepotong ayat…

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: ” Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu”. Semut pun menjawab: “Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku”. Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: ” Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?”Jawab semut: “Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan”.

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: “Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong”. Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi AllahSulaiman menemplak semut:

“Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah”. Jawab semut: “Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa”. Itulah Iman Semut!!IMAN MANUSIA??

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat. Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur.

Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: “Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?”. Jawab Imam Suffian:” Di akhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tanganTuhan”. Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.Kata Saidina Ali kepada Kamil:


ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA,

ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA,

ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN,

HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN

DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN”