Teman Seakidah Anda

Wednesday, February 11, 2009

Al-Quran sebagai Pembela anda atau Pembawa Musibah?

Pengarang: (Dr. A’idh al-Qarni)

Penterjemah: Wan Hakimin Bin Wan Mohd Nor (08BC03002)

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab (Terjemahan)

Sabda Rasulullah SAW : (Al-Quran sebagai Pembela atau Pembawa Musibah kepada anda). Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa al-Quran itu akan terbentuk sebagai pembela atau pembawa musibah kepada diri anda. Oleh itu, al-Quran bukanlah sekadar buku teori pengetahuan semata-mata ataupun buku tatapan untuk bacaan umum secara mutlak, kerana buku ulangkaji apabila anda baca atau tidak pernah membacanya adapun anda menghayati kandungan ataupun sebaliknya maka anda tetap diri anda seperti biasa. Adapun al-Quran itu apabila anda baca dengan penuh penghayatan setiap bait-bait ayat maka Allah akan menambahkan nur mata hati anda, tetapi sebaliknya semakin hari anda tergolong di kalangan orang yang rugi. (Wal ‘iyazu billahi). Firman Allah: “Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra’: ayat 82)

Dalam menafsirkan ayat ini ulamak Salaf berpendapat, “Seseorang itu tidak duduk membaca al-Quran lalu di akhirat kelak dia akan bangkit dalam keadaan selamat sejahtera, akhirnya seseorang itu akan dapat meraih keuntungan atau hasilnya akan beroleh kerugian.” Oleh demikian, ulamak Salaf membaca ayat ini.

Maksud sabda nabi: “Al-Quran sebagai Pembela” Barangsiapa yang beramal dengan al-Quran maka al-Quran tersebut akan menjadi pembela di hari akhirat kelak. Menurut pandangan Imam Hakim di dalam kitabnya al-Mustadrak: “Al-Quran dan Puasa akan datang di Hari Kiamat lalu berkatalah Puasa: Wahai tuhanku! aku telah menahan orang yang berpuasa itu makan di siang hari, lalu al-Quran pula berkata: Wahai tuhanku! aku telah menghalang ahli al-Quran untuk tidur di waktu malam, maka mereka meminta-minta syafaat untuk kedua-duanya, maka diberilah anugerah syafaat kepada mereka.”

Demikianlah al-Quran itu akan sentiasa membela hambanya di hari Kiamat kelak. Al-Quran seraya berkata: Wahai tuhanku, aku telah mengekang matanya untuk berjaga malam, sesungguhnya dia telah beramal denganku dan meninggalkan segala laranganmu, akhirnya dia akan dimasukkan ke dalam syurga.

Di dalam beberapa buah hadis yang sahih ada menyatakan: Rasulullah SAW pernah menyifatkan bahawa (Surah tabarak) itu akan berfungsi sebagai Penyelamat di akhirat kelak, ia akan menyelamatkan pembacanya dari azab kubur. Hanya dengan 30 ayat sahaja ia mampu mencegah pembacanya dari azab kubur kerana di sana Malaikat akan datang untuk menemui dan menghampirinya lalu datanglah Surah Tabarak tanpa wajah kepadanya sebagai pembela. Kemudian Malaikat mendatangi dari arah kakinya lalu aku menegahnya. Kemudian dia mendatangi lagi di sebelahnya lalu aku menahannya berbuat sesuatu. Lelaki yang mendapat perlindungan ini adalah orang yang menerapkan ajaran dan melaksanakan tuntutannya.

Di sini saya nasihatkan anda perbanyakkanlah membaca Surah al-Mulk, banyakkan mengulanginya tanpa mengira siang dan malam. Kesannya anda akan merasa bahagia dengan membacanya. Anda hendaklah menghafal surah ini serta memberi didikan kepada anak anda. Maksud sabda nabi SAW: (ataupun al-Quran itu pembawa musibah kepada anda). Keterangan ini menjelaskan bahawa Musibah akan menimpa sesiapa sahaja yang mengabaikan ajaran dan kandungannya iaitu; orang yang berdusta terhadapnya, membelakangi dan mengubahnya. Al-Quran akan berkata: “Ya Rabbi, dia telah membaca kandunganku tetapi dalam masa yang sama dia tidak beramal dan sering membelakangi perintahku.” Dia sering membaca: “Ingatlah, laknat Allah ke atas orang yang zalim” sedangkan dia sendiri melakukan kezaliman, dia juga menyebut: “Mereka memutuskan hubungan silaturrahim sedangkan Allah menyuruhnya menjaga silaturrahim.” tetapi dia memutuskan silaturrahim. Di dalam al-Quran ada menyebut tentang laknat Allah ke atas orang Munafik tetapi dirinya termasuk dalam munafik, hukum pengharaman riba tetapi hidupnya mengamalkan riba, pengharaman lagu tetapi dia mendengar lagu (melalaikan), akhirnya mereka akan dipersoalkan di hari Kiamat kelak.

Maka Al-Quran itu akan mendepani manusia dalam 2 keadaan; Pertama, samada ia akan menyunting manusia lalu memimpinnya masuk ke syurga. Kedua, sebaliknya al-Quran akan mengambil lehernya lalu dicampakkannya ke neraka, al-Quran juga tidak mengabaikan seseorang hamba selamanya, inilah peranan (keadilan) al-Quran ia akan menjadi pembela atau pembawa musibah kepada anda. Maka wajiblah ke atas manusia menilai kehidupan, menyemak cara hidup, dan sentiasa bermuhasabah diri selaras dengan acuan al-Quran yang diamanahkan kepada penghulu nabi SAW.

Diriwayatkan daripada Amr Ibn Syu’aib, bahawa nabi SAW telah bersabda: “Al-Quran akan menjelma sebagai seorang lelaki pada hari Kiamat, ia akan mendatangi orang yang memikulnya, jika sebaliknya seseorang itu menyalahi arahannya maka al-Quran itu akan menjelma dihadapannya sebagai musuh.” Lalu al-Quran berbicara kepadanya: “Ya Rabbi, dia telah memikulkanku dengan seburuk-buruk keadaan, mengabaikan hukum hakammu, meninggalkan apa yang telah kufardhukan, melakukan maksiat terhadapku dan dia meninggalkan ketaatan kepadaku.” Demikian itu, datanglah al-Quran berterusan menghujaninya dengan pelbagai ancaman dan tuduhan sehinggalah dikatakan kepada al-Quran: “Terpulanglah padamu untuk lakukan apa saja, lalu dia (al-Quran) mengambil dan menggenggam erat tangan si lelaki itu lalu menghumbankannya ke dalam neraka.”

Adapun sebaliknya, jelmaan seorang lelaki akan datang menemui hamba yang penuh beranggungjawab memikul al-Quran dan menjaga perintahnya. Maka datanglah ia dengan jelmaan sebagai pembelanya (pelindung) kelak. Lalu al-Quran akan berbicara kepadanya: “Ya Rabbi, si lelaki ini telah memikul tanggungjawab terhadapku dengan sebaik-baik amanah, dia menjaga segala kandungan hukum-hakamku (perundangan al-Quran), beramal dengan semua kewajipanku, menjauhi seluruh perkara yang bercanggah denganku (maksiat), mentaati segala perintahku. Demikian itu, al-Quran akan terus menghujani dengan pelbagai ancaman dan tuduhan terhadap si lelaki tersebut sehinggalah dikatakan padanya: “Terpulanglah padamu untuk lakukan apa saja terhadapnya, lalu dia (al-Quran) mengambil dengan menggengam erat tangan si lelaki itu lalu dipakaikannya pakaian dari jenis sutera, dikalungkan mahkota kerajaan dan diberi minum jenis arak yang datangnya dari taman syurga.” (Hadis riwayat Ibn Abi Syaibah dan Ibn Zharif di dalam kitab Fadhail al-Quran dan Khatib al-Baghdadi).

Di dalam sebuah hadis Ibn Mas’ud r.a pernah meriwayatkan: “Al-Quran pemberi syafaat bagi orang yang layak diberi, ia juga dianugerahkan kepada mana-mana pengikut yang membenarkannya. Maka, barangsiapa yang meletakkan al-Quran itu sebagai ikutannya maka dia ke syurga. Sebaliknya sesiapa sahaja yang membelakanginya maka dia akan diheret masuk ke neraka.” Hadis ini dikuatkan lagi dengan pesanan dari Rasulullah. Baginda bersabda: “Bacalah al-Quran kerana ia akan mendatangi anda di hari Kiamat kelak sebagai pembawa syafaat kepada tuannya.” Manakala menurut hadis riwayat Muslim pula: “Akan datang dua surah iaitu al-Baqarah dan Ali-Imraan menjelma sebagai 2 kepulan awan atau 2 kelompok burung yang berbaris-baris untuk menaungi tuannya di hari Kiamat kelak.”

Di dalam sebuah hadis sahih yang lain: (Dikatakan kepada pemikul al-Quran: “bacalah al-Quran, tingkatkan darjatnya, serta bacalah dengan tartil kerana kedudukanmu adalah bergantung pada ayat yang terakhir kamu membacanya”). Oleh demikian itu, baca dan beramallah dengan al-Quran semasa hayat di dunia sehinggalah ke peringkat hujung nyawa. Marilah kita berdoa memohon supaya Allah mengurniakan Inayah dan keupayaan untuk menghafal, serta beramal dengan kandungan dan membacanya di segenap waktu malam dan hari.

No comments:

Post a Comment