Teman Seakidah Anda

Friday, February 6, 2009

Indahnya Hidup Bersama Allah


Betapa manisnya dapat merasai gula-gula, manisan, madu dan segala sesuatu yang dapat dikenalpasti dengan rasa manis, begitulah manisnya hidup dan beruntung orang yang mendapat kemanisan iman yang hidupnya segala-gala hanya hak untuk Allah. Segala jiwa raga, rohani, jasmaninya hanya menyerah diri seratus peratus segenap kehidupan tanpa adanya sikap 'Wahm' yang mencintai dunia dan takutkan mati.

Allah swt telah menjanjikan syurga kepada mana-mana hambanya yang bergelar mukmin dengan sebesar-besar ganjaran kelak, tak dapat dibayangkan dengan pandangan, tak dapat diterjemahkan dengan hati, kalau mendapat habuan sebuah istana didunia sudah tentu sedikit sebanyak memberi tempias pada iman. Anda pilih ganjaran Allah atau ganjaran dunia?

Jikalau anda mahukan ganjaran Allah sudah tentu anda akan mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Maka anda perlu memiliki keredhaan Allah terlebih dahulu. Bila mendapat keredhaan Allah, sudah tentu dimana anda berada hatta planet Pluto sekalipun sudah tentu kehidupan aman sejahtera. Ingatlah hati yang sentiasa mendapat ketenangan dan ketenteraman sentiasa mengingati 'al-Khalik'.

Maksud firman Allah:

"adakah tidak dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."



Harta, Pangkat, anak, isteri dan segala-galanya boleh membawa fitnah sekiranya tidak diuruskan serta dirancang dengan baik. Segalanya ini Allah swt anugerahkan kepada kita hanya sekadar pinjaman dan amanah bertujuan untuk menguji hambanya sama ada tergolong dikalangan kacang lupakan kulit atau kacang sentiasa ingatkan kulit ataupun kita hanya sebagai kacang yang tidak mempunyai apa-apa kulit yang hanya mampu menjual maruah diri, agama, dan segala-galanya untuk kepentingan diri sendiri.

Firman Allah:

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu keinginan hawa nafsu pada para wanita, anak-pinak, harta benda yang banyak dari jenis emas, perak, Kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah sebaik-baik tempat kembali (syurga)."

(Surah ali-Imraan; ayat 13)


Apabila anda memilih segalanya kerana dunia semata-mata maka anda sememangnya layak menghuni neraka untuk selama-lamanya. Ini kerana rumah berpuaka itu sememangnya layak untuk keahliannya yang cukup ciri-ciri dan memenuhi kriterianya. Sebagai manusia secara fitrahnya kita diberi pilihan sama ada untuk memilih melakukan kejahatan atau keburukan. Allah telah mengilhamkan jalan kefasikan dan ketaqwaan kepada hamba-hambanya (surah as-Syams). Bukanlah bermakna kita perlu menolak perkara dunia semata-mata tetapi yang disuruh oleh agama adalah seimbang antara dunia dan akhirat.

Secara realitinya, hari ini seseorang itu terlalu mudah terdedah kepada kemaksiatan sebaliknya sukar melakukan kebajikan. Seseorang hamba itu perlu berusaha bagaimana untuk membentuk khalifatullah yang mampu berperanan mengajak ke arah ma'ruf dan mencegah perkara mungkar. Kuncinya anda perlu menjaga Allah, maka Allah akan menjaga anda. Barulah kehidupan anda mendapat kemanisan iman. Cubalah anda menyelak dan meneliti sirah-sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat, bagaimana iman mereka sentiasa berpaut hanya pada yang ahad (tuhan yang Esa). Alangkah indahnya hidup bersamamu Ya Allah..

No comments:

Post a Comment